STATUS halal dalam kebanyakan produk makanan dan perubatan yang
menimbulkan masalah kepada umat Islam akan dapat diatasi apabila
Malaysia dapat menjadi pengeluar gelatin halal utama tidak lama lagi.
Ini berikutan kejayaan sekumpulan pasukan penyelidikan Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) mengkomersialkan penghasilan gelatin halal
tulen hasil penyelidikan mereka untuk kegunaan umat Islam sedunia.
Hasil penyelidikan bagi menghasilkan gelatin halal itu akan
dikomersialkan melalui kerjasama dengan syarikat pengeluaran gelatin
Muslim pertama negara, Halagel (M) Sdn. Bhd.
Kerjasama itu dimeterai pada majlis perjanjian persefahaman bersama
(MoU) sempena Ekspo Penyelidikan dan Penciptaan Institut Pengajian
Tinggi Antarabangsa 2007 di Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC)
Jumaat lalu.
Melalui usahasama tersebut, syarikat Halagel yang berpusat di Sungai
Petani, Kedah dan genap 10 tahun beroperasi sebagai pengeluar gelatin
halal tempatan tahun ini, bakal muncul sebagai pengeluar utama gelatin
halal bagi kegunaan seluruh negara Islam dunia.
Sehubungan itu, sebuah loji pandu bagi penghasilan gelatin halal
komersial yang bernilai RM3.19 juta sedang dalam proses pembinaan
sekarang, akan dibangunkan oleh Halalgel.
Ketua Pegawai Eksekutif Halagel (M), Sdn. Bhd, Mohamad Yukob Munshi
Deen berkata, loji pandu milik syarikat industri gelatin halal Muslim
utama negara itu dibiayai melalui dana di bawah peruntukan TechnoFund.
Menurutnya, MoU itu merupakan projek utama sempena ulang tahun ke-10
Halagel dalam menjayakan matlamat pembinaan kilang serba lengkap yang
moden bagi menghasilkan gelatin halal tulen untuk kegunaan seluruh umat
Islam.
Kontrak usahasama untuk tempoh tiga tahun itu membolehkan para
penyelidik UKM membangunkan serta merealisasikan sepenuhnya teknologi
yang ditemui untuk dimanfaatkan oleh Halagel dalam industri penghasilan
gelatin halal.
Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi
UKM, Profesor Ir. Dr. Hassan Basri berkata, usahasama UKM-Halagel akan
dapat menangani kemaslahatan ummah dalam mendapatkan gelatin halal
tulen yang menepati syariah bagi kegunaan dalam industri makanan dan
perubatan Islam sedunia.
"Pasaran gelatin dunia sekarang hanya terdapat sekitar dua peratus sahaja yang benar-benar halal" kata Dr. Hassan.
Sedangkan penggunaan bahan yang melibatkan gelatin, terutama dalam
industri makanan dan farmaseutikal tegas beliau, menjadi kegunaan besar
seluruh umat Islam.
Menurut Dr. Hassan, melalui usahasama itu diharap bukan sahaja akan
dapat memartabatkan kepakaran para penyelidikan tempatan tetapi
membantu mengatasi masalah 'ketiadaan' gelatin halal bagi kegunaan umat
Islam di seluruh dunia.
"Kerjasama seperti ini perlu terus dipertingkatkan supaya teknologi
yang dibangunkan oleh para penyelidik UKM khususnya, dapat dimanfaatkan
oleh masyarakat sejagat" katanya ketika berucap pada majlis MoU
tersebut.
Sepuluh orang penyelidik yang diketuai oleh Profesor Dr. Abdul Wahab
Mohamad terlibat dalam penghasilan penyelidikan dan pembangunan
(R&D) menghasilkan gelatin halal melalui kaedah kejuruteraan sains
dan teknologi untuk menafaat umat Islam di seluruh dunia.
Dr. Hassan berkata, apabila kilang loji pandu penghasilan gelatin
milik Halagel siap sepenuhnya ia mampu mengeluarkan sekitar 15 peratus
bekalan gelatin halal untuk kegunaan umat Islam di seluruh dunia.
"Peratus penghasilan gelatin halal dari kilang berkenaan akan terus
meningkat selaras dengan permintaan yang semakin tinggi terhadap
penggunaan gelatin" jelasnya.
Menurut beliau kerjasama seperti itu perlu terus dipertingkatkan
supaya teknologi yang dibangunkan oleh para penyelidikan tempatan,
khususnya UKM dapat dimanfaatkan oleh masyarakat.
"Sekali gus membantu lebih banyak pembangunan tempatan dalam
teknologi indigenous dapat dicapai dalam masa terdekat ini" kata Dr.
Hassan. |